intro: Penantian dan Alasan
Seni lukisan Penantian dan Alasan mengalir dalam nadi koleksi ini.
Seperti sapuan warna di atas kanvas M. Nasir yang berbicara tanpa suara, baju ini juga membawa isyarat yang halus — tentang menunggu, tentang bertanya tanpa jawapan, tentang perjalanan yang tak pernah tiba di garisan penamat. Setiap helaian seolah-olah mengutip serpihan emosi dari lukisan-lukisan itu: ketenangan yang rapuh, pengharapan yang diam. Bila disarung ke tubuh, baju ini bukan sekadar pakaian — ia menjadi lapisan jiwa, membalut tubuh dengan rasa yang tak semua orang mampu terjemah dalam kata
Siapa sangka — baju Melayu Teluk Belanga boleh masuk balik dalam radar, bukan sebab raya, tapi sebab kolaborasi hipster antara KHATAM dan M. Nasir.
Rekaan?
Masih potongan klasik. Poket besar tiga ketul kat depan — bagus kalau awak nak seludup kuih raya atau sorok telefon bimbit masa khutbah. Butang kayu pula, sebab apparently sekarang "organik" dah cukup alasan untuk nampak lebih eksklusif. Campuran rayon digunakan untuk kain — licin, ringan, dan nampak macam awak baru keluar dari MV lagu Andalusia.
Kualiti kain?
Kain campuran rayon ni memang rasa sejuk dan ringan, sesuai sangat dengan cuaca panas lembap Malaysia. Bila pakai, jatuhnya cantik, tak keras macam langsir rumah nenek. Tapi macam biasa, rayon ni ada sifat "manja" — salah basuh sikit, boleh merajuk jadi berkedut macam muka tak puas hati. Jadi kalau nak baju tahan lama, kena bela elok-elok, jangan main campak dalam mesin basuh ikut sedap rasa.
Warna?
Ada pilihan seperti: hitam (standard selamat), hijau zaitun (untuk yang rasa macam pejuang tanah air), dan putih gading (untuk sesiapa yang tak takut tumpahkan kari). Oh, jangan risau, semuanya disusun dalam konsep "minimalist penuh makna" — supaya awak boleh rasa deep sambil bergaya.
Kesimpulan?
Kalau awak jenis suka buat orang tanya, "Woi, siapa sponsor baju kau ni?", sambil pura-pura jawab, "Ah, biasalah... special edition," inilah baju untuk awak. Tapi kalau awak percaya baju Melayu sepatutnya kekal sebagai simbol kesederhanaan, mungkin boleh cari alternatif lain yang lebih mesra jiwa (dan mungkin lebih mesra poket juga). tepuk dada tanya sama itu hud hud .
Seperti kata sahabat saya, Saudagar Mimpi:
"Hati gembira, poket menangis."
Pengalaman saya membeli di KHATAM Plaza Angsana JB
Ketika sampai di Plaza Angsana, saya menghadapi kesukaran nak dapatkan kerusi roda kerana ada acara majlis raya di centre court.
Saya pun ambil keputusan untuk bertongkat sahaja ke tingkat 3, lot 18, berbekalkan semangat kersani.
Saya disambut dengan baik oleh staff di situ. Saya datang bertongkat, mereka menyantuni saya dan isteri dengan penuh sopan dan mesra.
Selepas selesai pembelian, pengurus outlet pula membantu saya mendapatkan kerusi roda di kaunter informasi.
Tagline tak rasmi:
"KHATAM x M. Nasir – Untuk mereka yang nak raya sambil rasa macam pameran seni berjalan."