Thursday, January 29, 2026

Warkah untuk diri kecil ku




Apa khabar di sana, dik?

Abang tulis surat ini dengan tangan yang tak lagi sekuat dulu, dan hati yang terasa agak sarat. Abang nak minta maaf pada kau. Maafkan abang kerana gagal menjadi sosok hebat yang kau impikan masa kau tengah seronok bermain tanpa beban dulu.

 Maafkan abang sebab tangan ini tak mampu genggam kejayaan yang kau cita-citakan dulu.

Yang paling buat abang terkilan, abang lalai jaga kau. Abang biarkan badan ni kerja terlalu keras, abang abaikan penat lelah, sampai akhirnya stroke datang melanda kita. Maafkan abang sebab sekarang tubuh kau tak lagi selincah masa kau berlari-lari dulu. Abang gagal jadi pelindung buat rumah (tubuh) kita sendiri.

Tapi dik...

Di sebalik semua kegagalan ini, Abang masih di sini. Abang belum menyerah.
Walaupun langkah abang sekarang lebih perlahan dan terbatas sebab sakit ini, abang tetap bertahan demi isteri dan anak-anak yang sangat baik yang Tuhan pinjamkan untuk kita.

 Mereka adalah bukti bahawa walaupun abang gagal dalam kerjaya dan kesihatan, abang masih punya sebab untuk terus bernafas dan berbakti.

Mungkin abang bukan yang "terbaik" di mata dunia, tapi abang tengah usaha jadi yang "paling tabah" buat kita. Jangan benci abang ya?

 Temankan abang sekejap di sini. Bantu abang untuk maafkan diri sendiri, macam mana kau dulu senang sangat maafkan kawan-kawan masa bermain.

Abang mungkin tak hebat, tapi abang janji akan terus berjuang untuk kau dan untuk mereka.

Yang ikhlas,

Dirimu dari masa depan

No comments: